Tuesday, October 21, 2008
SALAM AIDILFITRI...
Monday, September 22, 2008
PUASA MENINGKATKAN PRODUKTIVITI UMMAH
Seluruh kewajipan ibadat dalam Islam yang ditaklifkan Allah taala kepada hamba-Nya tidak lain tidak bukan demi untuk kemaslahatan hamba itu sendiri. Ini adalah kerana Allah taala bersifat Maha Kaya atas segala sesuatu. Allah taala tetap Maha Besar sekalipun tidak dibesarkan dan Maha Agung biarpun semua makhluk yang ada di alam maya ini tidak mengagungkannya kerana kebesaran dan keagungan Allah taala adalah mutlak dan abadi selama-lamanya.
Ibadat puasa merupakan salah satu daripada kewajipan yang sungguh suci lagi mulia bagi umat Islam kerana Allah taala telah melipatgandakan pahalanya secara khusus dan juga dirahsiakan ganjaran sebenarnya serta akan diberikan secara langsung oleh Allah taala kepada orang-orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan akan keredaan-Nya. Dalam hal ini, Allah taala berfirman dalam satu hadis Qudsi yang bermaksud: Puasa itu adalah untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan memberikan pahalanya.
Menurut Al-Quran, salah satu daripada hikmah ibadat puasa diwajibkan kepada umat Islam ialah untuk menjana ketakwaan agar bertapak kukuh dalam jiwa sanubari seseorang Muslim. Ironisnya, takwa merupakan sebahagian dari terminologi Al-Quran di mana ianya bukan hanya sekadar slogan yang begitu mudah dituturkan oleh lidah yang tidak bertulang, sebaliknya takwa adalah teras yang mendasari seluruh ruang lingkup kehidupan seharian manusia .
Dalam erti kata lain, takwa itu bukan sekadar khusus kepada amalan ibadat kerohanian dan keagamaan semata-mata, malahan takwa merupakan satu manifestasi kepada seluruh aktiviti kehidupan manusia sejagat. Sehubungan itu, Allah taala berfirman maksudnya: Kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi pertunjuk bagi orang-orang yang bertakwa; Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara ghaib, mendirikan (mengerjakan) solat serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka. (Surah al-Baqarah,ayat 2 - 3)
Jelas dari maksud ayat suci di atas bahawa takwa dipaparkan sebagai realisasi atau manifestasi dari iman kepada perkara yang ghaib, juga kepada kehidupan hari akhirat dan juga melaksanakan syariat Islam melalui amalan mendirikan solat dan rajin bekerja hingga dapat mengeluarkan derma dan sumbangan ikhlas kepada yang memerlukan dari hasil pendapatan bersihnya.
Ayat suci di atas juga mengisyaratkan betapa menyeluruhnya makna takwa dalam seluruh detik kehidupan manusia sehingga Rasulullah s.a.w. pernah menyatakan dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al-Khudri bahawa takwa adalah himpunan segala kebajikan. Dalam konteks puasa untuk takwa, Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah pernah mencatatkan dalam kitabnya Zad Al-Ma’ad betapa seluruh aktiviti kehidupan Rasulullah s.a.w. dalam berpuasa sarat dengan makna yang cukup mendalam dari yang berbentuk ibadat kepada Allah hinggalah kepada aktiviti intelektual, sosial, jihad dan seterusnya.
Seorang ulama sufi tersohor, Fudhail bin ‘Iyadh selalu bekerja dan beramal dua kali ganda dari biasanya bila sahaja datangnya bulan Ramadan. Ketika hal ini ditanyakan kepadanya, lantas beliau menjawab: Bukankah Rasulullah s.a.w. melalui hadis Qudsinya pernah menyatakan bahawa Allah taala akan melipatgandakan pahala kebajikan dari 10 hinga 700 kali ganda, kecuali ibadat puasa sebab puasa itu khusus untuk Allah taala di mana Allah akan memberikan ganjaran yang berlipat ganda lagi.
Lanjut Fudhail lagi: Tidak ada alasan lagi bagiku untuk bermalas-malasan. Inilah bulan ganjaran dan pahala. Aku berpuasa, aku mendapat pahala. Aku bekerja sambil berpuasa, aku mendapat pahala. Kemudian hasil kerjaku itu sebahagiannya aku dermakan kepada orang yang memerlukan. Dengan demikian, aku mendapat keutamaan dan ganjaran pahala tiga kali ganda.
Demikianlah persepsi Fudhail terhadap ibadat puasa di dalam bulan Ramadan di mana ia amat jauh berbeza dengan persepsi berpuasa di kalangan umat Islam kini yang begitu mudah mengaitkan puasa itu dengan malas bekerja, tidur di siang hari, tidak produktif dan lain-lain lagi sifat negatif. Sedangkan, persepsi Fudhail mencerminkan betapa ibadat puasa itu adalah satu aktiviti ibadat yang sarat dengan nilai-nilai kerohanian dan keagamaan dan sekali gus juga aktiviti yang penuh produktif dan bermakna kepada kemajuan agama, bangsa dan negara.
Serentak dengan itu, Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah menegaskan bahawa bukanlah takwa kepada Allah itu dengan melaksanakan puasa sunat di siang hari atau solat sunat di malam hari atau melakukan kedua-duanya sekali. Tetapi talwa kepada Allah ialah kemampuan untuk meninggalkan apa-apa yang diharamkan Allah taala dan juga melaksanakan segala kewajipan-Nya. Kemudian, jika itu sudah dilakukan dan ditambah lagi dengan kemampuan melaksanakan amalan sunat, maka itu adalah kemuncak kebajikan di atas segala kebajikan.
Ini bermakna bahawa umat Islam bukan sahaja dituntut meningkatkan kualiti dan kuantiti amalan ibadat yang dianjurkan Islam sepanjang Ramadan, bahkan dalam masa yang sama umat Islam dituntut menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan dan juga yang mencacatkan kesempurnaan ibadat puasa itu sendiri. Dalam istilah feqah , amalan menahan diri itu lebih dikenali sebagai imsak.
Imsak itu sebenarnya merupakan hakikat ibadat puasa Ramadan di mana ia secara terminologi fikah membawa maksud menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan ibadat puasa bermula dari terbit fajar hinggalah terbenamnya matahari dengan niat ibadat penuh pengharapan kepada keredaan Ilahi. Dalam erti kata lain, menahan diri yang dimaksudkan itu bukanlah sekadar tidak makan dan tidak minum, bahkan juga seluruh perkataan dan perbuatan yang boleh merosakkan pahala dan nilai ibadat puasa itu. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: Bukanlah puasa itu sekadar menahan diri dari makan dan minum, tetapi menahan diri dari perkataan dan perbuatan yang tidak ada manfaatnya (laghwu) dan perbuatan yang kotor dan keji (rafath). Bahkan jika seseorang memarahi kamu, katakanlah kepadanya bahawa kamu sedang berpuasa. (Hadis riwayat Ibnu Hibban & Hakim)
Jelas di sini bahawa menahan diri secara total dan menyeluruh itulah yang bakal menghasilkan takwa yang sebenarnya bagi orang yang berpuasa selaras dengan objektif utama pensyariatan ibadat puasa oleh Allah taala kepada umat Islam di mana natijahnya akan terbias menyinari dalam setiap detik kehidupan sehariannya, baik ketika berada sepanjang bulan suci Ramadan mahupun sesudahnya.
Oleh sebab itulah, Rasulullah s.a.w. menyeru umatnya supaya meninggalkan apa yang jelas telah diharamkan dan dilarang Allah taala. Di antara larangan-larangan tersebut ialah berkata dusta, perbuatan ghibah iaitu menyebut sesuatu yang ada pada orang lain sedangkan orang tersebut tidak begitu senang bila hal itu diungkapkan dan perbuatan namimah iaitu menyebarkan perkataan seseorang mengenai peribadi orang lain sehingga mencetuskan pergaduhan dan merosakkan perhubungan dua orang yang bersahabat atau mengadu domba.
Dalam hal ini, sahabat Nabi s.a.w. iaitu Jabir bin Abdullah r.a. pernah berkata: Jika kamu berpuasa, maka hendaklah kamu berpuasa pendengaranmu, penglihatanmu dan lisanmu dari perkataan dusta dan segala yang haram. Janganlah kamu menyakiti jiran tetangga, hendaklah kamu bersikap tenang dan sabar dan janganlah kamu jadikan hari-hari puasamu itu sama dengan hari-hari ketika kamu tidak berpuasa.
Orang yang berpuasa itu ialah orang yang berpuasa dari perbuatan dosa dan maksiat. Lidahnya tidak melafazkan perkataan bohong, tidak berbicara dengan bicara yang kotor, palsu atau sia-sia. Perutnya berpuasa dari makan dan minum. Kemaluannya berpuasa dari bersetubuh. Kalau lidahnya berbicara, dia hanya akan berbicara yang benar dan berunsurkan nasihat kepada Allah dan Rasul-Nya. Bicaranya baik dan lembut, amal perbuatannya pula luhur dan salih. Justeru, Rasulullah s.a.w. sentiasa menganjurkan umatnya yang melaksanakan ibadat puasa bulan Ramadan supaya menghiaskan diri mereka dengan budi luhur dan amal salih, menjauhkan diri dari berkata dusta dan keji yang terlarang.
Dengan demikian, takwa merupakan satu kesedaran moral dan keinsafan spiritual yang sangat tinggi yang hanya diperolehi dari satu bentuk latihan atau amalan yang menuntut kesungguhan dan pengorbanan. Dengan itu, ibadat puasa berupaya melahirkan peribadi-peribadi yang terbilang, jujur dan bertanggung jawab serta bersemangat waja dalam menelusuri pentas kehidupan yang penuh liku.
Kesimpulannya, hasil puasa bukan hanya diukur dengan sekadar menahan lapar dan dahaga selama sebulan penuh Ramadan. Malahan nilai ibadat puasa yang sebenarnya dilihat pada aplikasinya pada sebelas bulan yang seterusnya. Sebab itulah seseorang itu dianggap berjaya dalam ibadat puasanya apabila sikap dan perilakunya merasai kehadiran pengawasan Allah taala sehingga dia tidak berani berlaku dusta, berlaku rasuah, bahkan untuk mengkhianati seseorang pun, dia tidak akan tergamak melakukannya kerana selama berpuasa sebulan Ramadan, dia telah berpuasa dengan sepenuh jiwa raganya yang akhirnya telah membentuk dirinya sebagai seorang hamba yang hanya menurut kepada kehendak Ilahi semata-mata.
Sunday, September 14, 2008
TAMAT PRAKTIKUM
Pada 11 September 2008 ( Khamis ) yang lalu pihak sekolah telah mengadakan majlis iftor jam'i ( berbuka puasa ) sempena majlis perpisahan dua orang cikgu pelatih tersebut di Restoran Sri Wangsa Gong Badak.
Pihak sekolah juga mengucapkan terima kasih kepada mereka berdua di atas segala kerjasama yang diberikan kepada pihak sekolah semasa mereka menjalankan praktikum mereka di sini dan di atas segala jasa yang mereka tinggalkan untuk kenangan di Pak Ba ini.
Harapan kepada Cikgu Din dan Cikgu Mi semoga anda mendapat pengalaman selama berada di sini dan akan menjadi seorang guru yang baik dan bagus demi mendidik anak bangsa nanti. Jadilah guru umpama "Ikut Resmi Kelapa" walaupun di mana berada dapat tumbuh segar, walaupun di mana anda di 'postingkan' yang penting didiklah anak bangsa dengan ikhlas.
Warga Pak Ba mengucapkan jutaan terima kasih dan jumpa lagi.
MOHD SUHAIMI BIN MUDA
SUHAIRUDIN BIN ZAINAL@ISMAIL
SALAM PERPISAHAN...
Sunday, September 7, 2008
RAMADHAN KARIM.

AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN ....
UPSR 2008
CALON TARGET 5A
AHMAD ZAFRAN BIN MOHD ZALIL
MOHD FAIZAL BIN CIK HAMID
NORZALIKHA BINTI SALLEH
ROSNORAFINA BINTI ISMAIL
5A IMPIAN KAMI.....
Tuesday, September 2, 2008
MERDEKA..MERDEKA..MERDEKA..


